SPRM Panggil Orang Penting

Seorang individu penting berhubung pembelian dua buah hotel di London dan di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd. Azam Baki ketika mendedahkan perkara itu berkata, individu terbabit akan dipanggil selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu berkenaan.

“Ada orang penting yang akan dipanggil minggu depan. Siapa orang itu saya tidak mahu dedahkan lagi,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) malam tadi.

Menurut Azam, setakat ini seramai sembilan individu ditahan manakala lebih 30 saksi telah dipanggil berhubung isu tersebut.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada STG60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

Manakala SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini. – 9 Ogos 2017.