Dakwaan Wan Azizah Tidak Munasabah

Kerajaan PAS Kelantan menyifatkan dakwaan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kononnya kerajaan negeri itu mempunyai tunggakan bayaran dengan wakil mereka sebagai tidak munasabah.

Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri telah memperuntukan RM200,000 setahun bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala elaun bagi lantikan politik PKR juga dijelaskan tanpa sebarang tunggakkan.

Beliau berkata, malah pihaknya juga memberi bantuan untuk rakyat tanpa menggunakan peruntukan dari mana-mana Penyelia DUN.

“Perkara ini (lantikan politik PKR di Kelantan masih menunggu bayaran tertunggak) tidak munasabah. Kita ada peruntukan melalui rancangan kecil pembangunan untuk setiap DUN.

“Lantikan politik ini hanya mendapat bayaran elaun bulanan dan ia tidak tertunggak apa-apa pun. Jadi tidak berbangkit perkara-perkara lain,” katanya.

Kelmarin, Wan Azizah tampil memberi penjelasan dengan mendakwa wakil mereka di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.

Wan Azizah sebagaimana dipetik dari laporan portal pro pembangkang berkata, sebelum ini, semua lantikan politik tersebut menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing. – 10 Ogos 2017.