Dua Termasuk Kanak-Kanak Maut Kemalangan

Dua maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 14, berhampiran Kampung Renok Baru, Gua Musang petang semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira, Muhammad Sobri Mohamad Khairi, 26, dan penumpangnya, seorang kanak-kanak, Che Muhamad Saifullah Mohd. Sapiin.

Ketua Polis Daerah , Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan iaitu Proton Wira dan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

Tambahnya, isteri mangsa, Ismawani Che Yazid, 25, mengalami kecederaan patah paha. Manakala, dua lagi mangsa dalam kenderaan berasingan yang turut parah menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

“Ketika kereta dinaiki sepasang suami isteri itu, mereka turut membawa seorang anak yang diasuhnya dalam perjalanan dari Felda Chiku 4 ke bandar Gua Musang.

“Sebaik sampai ke lokasi, kereta mangsa bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai,” katanya.

Rajab Ahad berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Ketua Operasi, Mohd. Zawawi Yusoff terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, punca kejadian masih disiasat dan dua mangsa yang meninggal dunia itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. – 10 Ogos 2017.