Hormati Jalur Gemilang – Ahmad Yakob

Bendera Malaysia menjadi lambang kedaulatan dan ia cukup bermakna dalam sejarah perkembangan Islam negara.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, ia perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Jalur Gemilang perlu dihormati dan dikibarkan kerana ia merupakan simbol dan lambang kedaulatan Malaysia yang tercinta.

“Memijak, menconteng dan menghinanya adalah satu kesalahan besar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Sehati Sejiwa Bersama Islam Peringkat Negeri Kelantan di Pasir Puteh hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Ahmad berkata, sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun memberi kesedaran kepada rakyat bahawa pentingnya mengingati sejarah kemerdekaan negara.

“Supaya tanah air ini tidak dijajah semula dalam bentuk ideologi dan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Amar memberitahu, pelbagai program akan diadakan sempena sambutan hari kemerdekaan negara termasuk solat hajat di semua masjid di Kelantan pada 30 Ogos ini.

Beliau menyeru, rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing untuk menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekaan.

“Sambutan itu perlu untuk memerdekakan minda daripada belenggu penjajah dan melahirkan semangat jati diri dan sayangkan negara serta mempertahankan tanah air kerana itu adalah sebahagian daripada tuntutan agama,” katanya. – 10 Ogos 2017.