RTC Lubuk Rezeki

Sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan menjadikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong sebagai pilihan tempat beli-belah utama sejak enam tahun lalu, sekali gus menjana pendapatan lumayan kepada lebih 600 peniaga.

Tapak perniagaan yang selesa di bawah ‘satu bumbung’ dengan kadar sewa berpatutan memberi kelebihan kepada peniaga untuk mendapatkan pulangan jualan yang berbaloi.

Peniaga ikan air tawar, Norbi Mohamed Nor, 37, berkata, dengan kadar sewa berpatutan, RM150 sebulan atau hanya RM5 sehari, beliau mampu meraih pendapatan dua kali ganda berbanding berniaga di beberapa pasar tani dan pasar basah lain sebelum ini.

“Seronok berniaga di sini kerana RTC selalu dibanjiri pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Biasanya jualan habis licin pada waktu itu,” katanya.

Dia yang mempunyai tujuh anak berkata, pelbagai kemudahan disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan setiap peniaga ikan sepertinya mempunyai empat tong untuk simpanan ikan dan tempat untuk menyiang ikan.

Peniaga rempah ratus, Ayuswani Razali, 49, berkata, jumlah pelanggannya semakin meningkat dari setahun ke setahun dan dia berjaya menjual hampir 200 kilogram rempah ratus sehari.

“Pada hari cuti atau perayaan pula, jualan boleh meningkat sehingga tiga kali ganda. Kebanyakan pelanggan biasa akan mengesyorkan kepada pembeli lain untuk mendapatkan pelbagai jenis rempah ratus di sini,” katanya.

Menurutnya, perniagaan di RTC adalah sumber rezeki utama keluarga terutama selepas suaminya, Mustafa Mohd. Said, 60, tidak dapat bekerja sejak tiga tahun lalu akibat penyakit saraf.

“Hasil jualan inilah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan pelajaran anak-anak termasuk kos pelajaran seorang anak saya yang menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar, Mesir,” katanya.

Bagi pengusaha kedai makan, Siti Zubaidah Kamal, 25, pula, pusat jualan tersebut (RTC) yang menyediakan pelbagai jenis barangan basah dan kering menjadi lokasi tumpuannya sejak beberapa tahun lalu.

“Banyak pilihan barangan di sini yang dijual pada harga borong yang jauh lebih murah dan menguntungkan. Ia juga menjimatkan masa kerana kami tidak perlu lagi ke pasar lain untuk mendapatkan barangan keperluan kedai makan yang kami usahakan,” katanya.

Tinjauan mendapati, antara tarikan lain ialah kawasan parkir kenderaan yang luas dan percuma, ruang niaga yang bersih dan teratur serta pelbagai kaunter perkhidmatan kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pos Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Fama Kelantan, Ibrahim Mahmood berkata nilai urus niaga di RTC Kelantan tahun lepas ialah RM360 juta dengan kehadiran seramai 4.2 juta pengunjung.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan nilai urus niaga akan meningkat kepada RM700 juta pada tahun ini.

“Jumlah peserta (peniaga) akan ditambah kepada 1,000 membabitkan kategori peruncitan, pemborongan, pasar tani dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding 625 peserta,” katanya. – Bernama, 10 Ogos 2017.