Buli: Buang Sekolah

Hukuman paling berat termasuk buang sekolah perlu dikenakan ke atas pelajar yang terlibat dengan kegiatan buli bagi memastikan gejala negatif itu dapat dibanteras sepenuhnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya kecewa kerana perbuatan buli dilihat semakin serius walaupun pelbagai usaha telah dilakukan kementerian bagi menanganinya.

“Saya kecewa kerana ketika kita bercakap tentang kes buli, pasal hukuman serta peraturan mengenainya, kejadian ini berulang lagi di Terengganu pula.

“Kita kena ambil tindakan paling keras terhadap pembuli. Tidak boleh hanya gantung 10 hari, sebaliknya buang sahaja dari sekolah, walaupun ada yang akan kata kasihan dan risau masa depan pembuli menjadi gelap,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam Isnin dan pukul 1.30 pagi Selasa lalu, dua pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu di Kuala Nerus, Terengganu cedera dibelasah pelajar senior sehingga salah seorang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Susulan kejadian itu, 15 pelajar direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes buli di sekolah berkenaan.

Mahdzir berkata, kementerian itu juga tidak akan berkompromi dengan kes buli dan jika ada pelajar dikenakan hukuman paling berat, ibu bapa pembuli perlu menerima hakikat bahawa anak mereka telah melakukan kesalahan serius.

“Para ibu bapa pembuli pula perlu menerima hakikat bahawa anak mereka telah melakukan kesalahan serius dan dikenakan hukuman paling berat,” katanya. – 11 Ogos 2017.