ECRL Beri Kemudahan Kepada Rakyat Kelantan

Kerajaan PAS Kelantan menyambut baik pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut melibatkan negeri itu kerana projek tersebut memberikan impak yang besar kepada rakyat dalam semua aspek.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembinaan tersebut diharap dapat memberi manfaat besar untuk perkembangan ekonomi dan pembangunan rakyat di Kelantan.

“Sebanyak tiga buah stesen bakal dibina di negeri iaitu di Kota Bharu, Jelawat, Bachok dan Tok Bali bagi fasa pertama. Selepas ini, jarak perjalanan dari Kota Bharu ke stesen Gombak hanya mengambil masa empat jam dan ini memberikan impak yang besar kepada pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan majlis pecah tanah projek ECRL di Bandar Sultan Ahmad Shah, Pahang sekali gus menandakan bermulanya projek yang menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos sebanyak kira-kira RM55 bilion itu dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun.

Laluan tersebut menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan yang terbahagi kepada tujuh segmen dan enam aliran cawangan serta 27 perhentian.

Melalui ECRL, masa yang diambil dari Lembah Kelang ke Kelantan hanya selama empat jam. Dijangkakan sejumlah 5.4 juta penumpang akan menggunakan perkhidmatan ECRL setahun menjelang 2030.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau berharap pembinaan itu bakal menjadi kenyataan.

“Saya berharap ECRL tidak jadi seperti Lebuh Raya Pantai Timur di mana pembinaan tersebut hanya melibatkan Pahang dan Terengganu.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab menunaikan pembangunan di Kelantan seperti di negeri-negeri lain. Kali ini, kita berharap projek ini (ECRL) menjadi kenyataan dan dapat dinikmati oleh rakyat negeri ini,” katanya. – 11 Ogos 2017.