Jadilah Pembangkang, Bukan Pembenci

Pakatan Harapan (PH) ditempelak kerana gagal melaksanakan tugas sebagai pembangkang secara profesional apabila hanya menghentam kerajaan membuta tuli dalam semua aspek termasuk perkara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berikutan tindak tanduk itu, parti-parti yang menganggotai pakatan tersebut tidak boleh dianggap parti pembangkang, sebaliknya lebih layak digelar parti pembenci.

Katanya, sebagai contoh, PH mendakwa pelaburan asing yang masuk ke negara ini menerusi Tun Razak Exchange (TRX) serta pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai perbuatan menjual negara meskipun diakui memberi manfaat kepada rakyat

“Saya rasa pelik apabila melihat pakatan yang dipimpin DAP, diterajui Tun Dr. Mahathir ini hendak kata semua yang kerajaan buat tidak betul. Setiap perkara dibuat kerajaan didakwanya sebagai mahu jual negara.

“Kamu sebagai parti politik pembangkang, jadilah profesional bukan jadi parti kebencian. Dr. Mahathir pun sudah termasuk ke dalam politik kebencian ini. Tengok UMNO benci, tengok Perdana Menteri benci, tengok Timbalan Perdana Menteri pun benci,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh, semalam.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Kelantan, Datuk Rahimah Mohamad; Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Zurina Ripin dan Ketua Pemuda Bahagian, Muhammad Yusri Ismail.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pakatan pembangkang perlu henti mengamalkan politik kebencian kerana pendekatan tersebut tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. – 11 Ogos 2017.