Rakyat Kelantan Perlu Hargai Usaha Kerajaan Pusat

Inisiatif kerajaan Persekutuan yang mempunyai iltizam tinggi dalam menaik taraf pengangkutan awam di Kelantan menerusi pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) wajar dihargai rakyat negeri itu.

Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan (MBK), Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, ECRL adalah satu rahmat buat rakyat Kelantan yang selama ini mendambakan pembangunan menyeluruh.

“Projek ini membuktikan Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan negeri ini apatah lagi menyisihkannya daripada pembangunan meskipun ditadbir pembangkang sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Putra Malaysia Kelantan, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin berkata, pembinaan ECRL memberi impak besar kepada negeri ini khusus daripada perkembangan ekonomi serta penambahan peluang-peluang pekerjaan

Selain itu katanya, ECRL bakal memberi kemudahan kepada rakyat Kelantan untuk pulang ke kampung halaman dalam tempoh singkat iaitu sekitar empat jam dan tidak perlu lagi menempuh kesesakan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

“Terima kasih kerajaan kerana membina projek mega ini dan memastikan Kelantan turut terlibat. Projek sebegini sememangnya dinanti-nanti oleh rakyat,” katanya.

Presiden Pertubuhan Jiwa Patriotik (PJP) Kelantan, Fikhran Hamshi Mohd. Fatmi pula berkata, projek tersebut membawa manfaat besar bagi memastikan Kelantan tidak lagi ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, dengan pelaksanaan projek mega itu, Kelantan bakal berubah wajah menjadi sebuah negeri yang lebih maju dan perkara itu sememangnya diidam-idam oleh seluruh rakyat, terutama golongan belia. – 11 Ogos 2017.