Wacana Terbuka Kelantan, Hanya UMNO, PAS Berani Sahut Cabaran

Penyokong empat parti iaitu UMNO, PAS, PKR dan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) hampa apabila Wacana Terbuka ‘Kelantan Ambang PRU-14, Parti Mana Bela Rakyat?’ membabitkan sayap pemuda parti-parti tersebut dibatalkan ekoran dua ahli panel menarik diri saat-saat akhir.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Kelantan, Mohd. Hafidz Rizal Amran dan Ketua Armada PPBM Kelantan, Asran Alias tidak muncul dalam program tersebut yang dijadualkan berlangsung malam tadi di sebuah hotel di Kota Bharu.

Hanya Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azam Ismail dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari muncul menyahut cabaran.

Mohd. Hafidz Rizal dan Asran dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan dikatakan enggan menyertai wacana tersebut kerana penganjur tidak menjemput dua lagi wakil parti pembangkang iaitu PAN dan DAP.

Mereka mendakwa pihak penganjur tidak profesional kerana menafikan kehadiran wakil PAN dan DAP sekali gus menjadikan program itu sekadar membuang masa dan langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Moderator wacana yang juga seorang penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff pula berkata, wakil PKR dan PPBM telah mensia-siakan peluang diberi untuk berbincang secara matang bersama wakil UMNO dan PAS biarpun keempat-empat parti berkenaan mempunyai ideologi politik berbeza.

“Saya sebagai moderator kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.

Mohd. Azam pula berkata, beliau bersetuju menyahut cabaran kerana berpendapat program seumpama itu merupakan ruang yang boleh dimanfaatkan untuk beliau mengemukakan pandangan dan berkongsi wadah perjuangan UMNO dengan rakyat Kelantan.

“Tindakan wakil PKR serta PPBM menarik diri saat-saat akhir adalah tidak wajar namun saya hormati keputusan mereka. Sejujurnya saya kecewa namun saya perlu berlapang dada dan bersedia memenuhi undangan seumpama ini pada masa depan,” katanya. – 11 Ogos 2017.