Calon Pengerusi Mara Baharu Dikenal Pasti

Senarai nama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa calon bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tidak berhasrat menyambung jawatan itu.

“Saya akan berbincang dan menyerahkan dua atau tiga nama. Terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan (siapa pengerusi Mara yang baharu),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Dalam satu kenyataan sebelum ini Annuar menyatakan tidak berhasrat menyambung jawatan sebagai Pengerusi Mara, yang tamat semalam bagi memberi tumpuan terhadap parti.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 19 Julai 2013 dan perkhidmatannya disambung pada 12 Ogos 2015.

Bagaimanapun, beliau digantung jawatan Pengerusi Mara sejak Januari lepas berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak Kelantan. – 12 Ogos 2017.