PM Rasmi Bangunan Tambahan Hospital Jeli

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan bangunan tambahan Hospital Jeli, membabitkan kos sebanyak RM57 juta.

Hospital tersebut sebelum ini hanya mampu memuatkan 24 katil, namun dengan penambahan bangunan itu ia mampu memuatkan 56 katil lagi.

Rakyat sekitar daerah berkenaan kini dapat menikmati kemudahan rawatan kesihatan yang lebih selesa dan berkualiti selepas ia mula beroperasi pada Februari tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, pembinaan bangunan tambahan hospital itu membuktikan kerajaan amat perihatin selain cakna kepada rakyat.

Katanya, kerajaan mahu rakyat menikmati status kesihatan dan kualiti hidup yang tinggi dan peruntukan besar diberikan kepada sektor kesihatan setiap tahun.

“Setiap tahun, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan perbelanjaan besar bagi menampung subsidi perubatan untuk membantu rakyat.

“Bayangkan, sekiranya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, rakyat hanya perlu membayar RM1 saja bagi mendapatkan rawatan khidmat pesakit luar, berbanding di klinik swasta melebihi RM30.

“Setiap tahun kerajaan membelanjakan sebanyak RM22 bilion, namun hanya mengutip sebanyak RM700 juta. Bayangkan berapa banyak subsidi yang kita tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bangunan tambahan dan Pemimpin Bersama Rakyat di Jeli, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – 12 Ogos 2017.