Tiga Prinsip, BN Boleh Menang PRU-14

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika ahlinya mengamalkan tiga prinsip.

Menurut Najib, tiga prinsip itu ialah mempunyai roh perjuangan; kepemimpinan satu saf dan sifat wala (setia) kepemimpinan.

“InsyaAllah, jika kita mengamalkan tiga prinsip ini, PRU-14 ini milik kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas menghadiri Majlis PM Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu, Najib beranggapan PAS kini mengamalkan politik matang yang konstruktif berkaitan kebajikan rakyat.

Katanya, walaupun berbeza pendapat namun, PAS tidak menyerang semberono kerana mengamalkan prinsip tabbayun.

“Konsep tabbayun itu bermaksud menyelidik dahulu sesuatu berita dengan teliti sebelum membuat keputusan,” katanya.

Mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) beliau berkata, PAS memahami dan berpuas hati selepas penjelasan dibuat.

“Selepas mendengar penjelasan, barulah PAS membuat kesimpulan dan mahu memberi peluang pada 1MDB untuk melakukan pelan rasionalisasi,” katanya. – 12 Ogos 2017.