Kerajaan BN Tepati Janji

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengabaikan pembangunan rakyat Kelantan.

Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu semalam oleh beliau membuktikan kerajaan BN menepati janji yang telah dibuat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, PPR ini bukan sahaja dilaksanakan seperti yang dijanji malah ditambah kepada lapan projek keseluruhannya di Kelantan.

Menurutnya, lapan PPR berkenaan termasuklah di Ketereh, Pasir Mas dan beberapa kawasan lain.

“Sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membuat PPR di negeri ini dan hari ini, beliau sendiri telah datang untuk melancarkan PPR di Parlimen Machang ini.

“Sebenarnya, beliau janji untuk melaksanakan PPR di dua, tiga kawasan sahaja tetapi telah meluluskan lapan PPR kesemuanya dengan peruntukkan berjumlah RM600 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang, semalam. – 13 Ogos 2017.