Kerajaan Pastikan Tambang ECRL Berpatutan

Kerajaan akan memastikan tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak membebankan rakyat.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa sama rakyat juga perlu bersikap realistik terhadap perubahan kos selari dengan kenaikan taraf hidup.

“Tidak ada negara yang membuat untung melalui pengangkutan awam dan semuanya bergantung kepada kerajaan seperti kita peruntuk subsidi 50 peratus untuk projek Transit Aliran Massa (MRT) sebelum ini.

“Sebarang kenaikan tambang sekalipun tidak akan mampu menampung perbelanjaan yang digunakan, kalau kita sebut kos memang tinggi dan kita tidak boleh jamin kadar tambang sama sampai kiamat.

“Kerajaan akan pastikan tambang berpatutan tetapi rakyat perlu bersikap realistik dan mengambil kira perubahan sepanjang masa contohnya gaji buruh binaan dan pemandu juga semakin tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri hari ini.

Projek ECRL di Kelantan melibatkan perbelanjaan RM5 bilion daripada kos keseluruhan sebanyak RM55 bilion.

Ia melibatkan pengambilalihan tanah seluas 445 hektar bagi pembinaan landasan sepanjang 70 kilometer dan lima buah stesen. – 13 Ogos 2017.