BN Kelantan Sambut Baik Awang Adek Pengerusi MARA

Barisan Nasional (BN) Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan melantik Datuk Dr. Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia satu pilihan tepat berdasarkan latar belakang Awang Adek yang pernah terlibat dengan beberapa jawatan penting negara sebelum ini.

“Beliau memiliki pengalaman yang luas sepanjang berkhidmat sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat (2014-2016), Timbalan Menteri Kewangan (2006-2013), Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2004-2006) dan Penolong Gabenor Bank Negara (1996-2001),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, BN Kelantan meletakkan harapan tinggi kepada Awang Adek untuk memainkan peranan aktif dalam memacu transformasi ekonomi bumiputera.

Katanya, selain itu, pelantikan tersebut merupakan satu penghargaan istimewa dan membuktikan keperihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap tokoh-tokoh Kelantan yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

“BN Kelantan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Dr. Awang dalam menjulang status ekonomi Bumiputera,” katanya.

Awang Adek dilantik sebagai Pengerusi MARA yang baharu berkuat kuasa 1 September ini bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa – 15 Ogos 2017.