RM2 Juta Bantu Baikpulih Rumah Penduduk Miskin Ketereh

Sebanyak 400 buah rumah di Parlimen Ketereh menerima peruntukan untuk baikpulih rumah sebanyak RM2 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.6 juta adalah untuk membaikpulih rumah manakala selebihnya untuk kos gotong-royong melaksanakan kerja baikpulih.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap keluarga akan menerima bantuan baikpulih sebanyak RM5,000.

Katanya, kerja-kerja membaikpulih akan bermula dalam masa terdekat.

“Bantuan baikpulih ini membabitkan proses membaiki bumbung, lantai, ruang tamu dan dinding rumah penduduk kampung.

“Kita usahakan bantuan ini di bawah peruntukkan khas Perdana Menteri supaya rumah mereka dapat dibaiki segera,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima dari Kampung Hutan Pasir, Mohamad Yaacob, 63 berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diterima memandangkan bumbung rumahnya sudah lama bocor.

“Setiap kali hujan, rumah yang didiami saya bersama isteri, Ramlah Hussin,62 dan anak yang sakit, Abu Bakri Mohamad, 33, akan dilimpahi air terutamanya di bahagian tengah rumah.

“Saya amat bersyukur apabila menerima bantuan ini kerana saya tidak mampu untuk menukar bumbung baharu memandangkan saya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak seberapa,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Azimah Mat Saud, 77, berkata, kali terakhir dia membaiki rumah adalah 10 tahun lalu dan terpaksa tinggal di rumah yang semakin usang kerana tidak mampu untuk membaikpulih.

“Saya tinggal bersama suami, Mat Zin Saad, 78, dan kami sudah tidak mampu lagi untuk bekerja. Jadi, dengan bantuan ini, saya bercadang untuk membaiki ruang tamu rumah selain membina satu bilik untuk keselesaan kami,” katanya. – 15 Ogos 2017.