Stesen ECRL Tok Bali Terbesar Di Kelantan

Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Tok Bali, Pasir Puteh adalah yang terbesar berbanding empat stesen lain yang akan dibina di Kelantan.

Selain Tok Bali, empat stesen lain ialah Jelawat, Kota Bharu (Tunjung), Wakaf Baharu dan Pangkalan Kubur yang membabitkan perjalanan sejauh 70 kilometer.

Menurut Timbalan Pengarah (Bahagian Teknikal), Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP), Kahadi Hassan, stesen di Tok Bali perlu diperbesarkan kerana mempunyai dua matlamat utama iaitu bagi muatan kargo dan penumpang berbanding empat stesen lain yang hanya bagi tujuan muatan penumpang sahaja.

Beliau berkata, stesen Tok Bali, Jelawat dan Kota Baharu akan dibina dalam fasa pertama.

“Manakala stesen Wakaf Baharu dan Pangkalan Kubur akan dibina dalam fasa kedua. Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024,” katanya.

Katanya, pembangunan pengangkutan kereta api laju itu akan memesatkan pembangunam Tok Bali yang kini mempunyai pelabuhan perikanan dan pelancongan yang berpotensi berkembang pada masa hadapan di negeri itu.

 

Dalam pada itu, Kahadi memberitahu, pada tahun ini, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk membangunkan lapan projek bagi kemudahan kepada penduduk di Pasir Puteh.

“Antara projek terbesar ialah membina pasar baru Selising membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menggantikan pasar lama yang terbakar dua tahun lepas.

“Ia dijangka siap pada tahun depan” katanya. – 15 Ogos 2017.