Tender LTSIP Dibuka Tidak Lama Lagi

Tender bagi projek pembinaan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa akan dibuka tidak lama lagi.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek bernilai RM500 juta itu membabitkan pembinaan bangunan baharu dan kemudahan tapak meletak 1,200 kereta.

“Kita berharap dalam tempoh peralihan tiga tahun ini isu keselesaan penumpang akan diberi perhatian kerana ia membabitkan proses merobohkan bangunan lama.

“Terminal baharu nanti akan mempunyai dua aras berasingan untuk ketibaan dan pelepasan penumpang sekali gus memperbaiki situasi LTSIP sekarang yang seperti pasar malam apabila berlaku jadual tertunda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri baru-baru ini.

Tahun lalu, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pengangkutan telah meluluskan peruntukkan untuk pembesaran LTSIP.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembesaran terminal LTSIP itu sekaligus mampu menampung sebanyak empat juta penumpang berbanding sebelum ini hanya sekitar 1.5 juta.

“Proses naik taraf itu juga akan melibatkan kerja-kerja memanjangkan landasan kapal terbang daripada 2.4 kepada 2.5 kilometer selepas ini,” katanya.

Perkembangan itu, sekali gus membuktikan Kerajaan Pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri itu.

Meskipun dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang namun, kerajaan tetap komited untuk membawa pembangunan ke Kelantan. – 15 Ogos 2017.