Awang Adek Terharu, Mahu Balas Jasa Mara

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Pengerusi Mara baharu berkuat kuasa 1 September depan berazam mahu membalas jasa agensi itu terhadapnya.

Menurut Awang Adek, jasa Mara terlalu besar kerana agensi itulah yang membolehkan beliau melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) dan mengubah nasib keluarga dan masyarakat setempat.

“Saya benar-benar terhutang budi kepada Mara kerana memilih saya sebagai antara kumpulan anak Melayu terawal yang dihantar melanjutkan pelajaran ke AS.

“Apabila diberi kepercayaan menjadi Pengerusi, saya akan gunakan ruang ini menjaga Mara yang merupakan amanah orang Melayu dan bumiputera sebaik-baiknya. Ini peluang untuk saya balas jasa Mara,” katanya.

Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Mara benar-benar satu kejutan kerana beliau tidak pernah menduga sama sekali.

“Saya terharu kerana diberi kepercayaan dan penghormatan ini, terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana yakin dengan kemampuan saya,” katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pelantikan Awang Adek berkuat kuasa 1 September selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelantikan Awang Adek itu bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tamat kontraknya pertengahan bulan ini.

Awang Adek, 62, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan bermula 2006 hingga 2013 selain pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat bermula 2014 hingga 2016. – 15 Ogos 2017.