Belum Ada Keputusan Beku Aset Isa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuat keputusan untuk membekukan aset Tan Sri Mohd. Isa Samad yang kini disiasat berhubung kes pembelian hotel di Landon oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan dan bergantung kepada hasil maklumat.

“Berkenaan aset itu, kita belum tentukan sama ada mahu bekukan atau sebaliknya kerana ia bergantung kepada keterangan yang diperoleh nanti.

“Saya perlu dapatkan maklumat lanjut dari pegawai penyiasat yang jalan siasatan dan keputusan akan dibuat selepas perbincangan dijalankan dan kita akan tentukan nanti,” katanya.

Mohd. Isa, hari ini direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pengerusi Felda itu sehingga 20 Ogos ini.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Semalam, Mohd. Isa ditahan pada pukul 4.24 petang di ibu pejabat SPRM selepas beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung pembelian hotel di London dan Kuching oleh FIC. – 16 Ogos 2017.