Isa Samad Direman Lima Hari

Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pengerusi Felda itu sehingga 20 Ogos ini.

Mohd. Isa, 68, tiba di kompleks mahkamah Putrajaya pada pukul 9.08 pagi Rabu.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Semalam, Mohd. Isa ditahan pada pukul 4.24 petang di ibu pejabat SPRM selepas beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung pembelian hotel di London dan Kuching oleh FIC. – 16 Ogos 2017.