‘Proses Biasa’ – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan serbuan terhadap kediaman bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai proses biasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkilfi Ahmad berkata, ia adalah tindakan susulan terhadap penahanan seseorang individu.

“Serbuan ini dibuat supaya kita dapat membuat semakan terhadap dokumen yang disimpan di rumah beliau. Ini merupakan satu proses biasa oleh SPRM, bukan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani ‘Ikrar Bebas Rasuah’ (IBR) Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Kota Bharu semalam.

Dzulkifli bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan terdapat penahanan susulan individu lain termasuk isteri Mohd. Isa dalam masa terdekat.

Semalam SPRM menahan Isa bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Difahamkan, Isa ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 itu.

Penahan tersebut merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam oleh pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah, keraian dan minyak dan gas.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada harga £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

Isa selaku pengerusi Felda ketika itu dilaporkan berkata, pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk
mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.

Pembelian itu menjadi pelaburan ke-12 FIC dalam portfolio keraian, selepas Felda membayar £98 juta (RM538 juta) untuk sebuah pangsapuri perkhidmatan 198 unit di Bayswater, London pada 2013.

Selain pembelian hotel di London, kertas siasatan turut dibuka terhadap pembelian sebuah hotel di Kuching, susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London.

Kertas siasatan dibuka atas arahan Dzulkifli bagi menyiasat pembelian yang disyaki dibeli dengan harga lebih tinggi daripada pasaran.

Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC
mengalami kerugian jutaan ringgit. – 15 Ogos 2017.