SPRM Serbu Pejabat Isa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dilaporkan menyerbu pejabat bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di kompleks Kuala Lumpur Sentral.

Kira-kira 10 anggota SPRM berpakaian biasa memasuki pejabat Isa yang terletak di tingkat 4 pada jam 11.00 pagi.

Memetik laporan sebuah portal, sumber SPRM mengesahkan serbuan itu dengan berkata “SPRM hanya memasuki pejabat Isa sahaja dan mengambil beberapa dokumen berhubung siasatan pembelian hotel”.

Sebelum itu SPRM telah menyerbu rumah Isa di Selangor dan Negeri Sembilan.

Isa dilantik pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Bhd (FGV) pada 1 Januari 2011.

Beliau melepaskan jawatan tersebut pada 19 Jun lalu dan dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD pada hari yang sama.

Isa ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kelmarin bagi membantu siasatan berhubung pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corportion (FIC) antara 2014 dan 2015.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, seorang pengerusi sementara akan dilantik dalam kalangan ahli lembaga pengarah SPAD untuk mengetuai suruhanjaya itu.

“Tidak adil untuk membuat spekulasi kerana dia baru ditahan, namun pengurusan (SPAD) akan terus berjalan seperti biasa,” katanya seperti mana di laporkan. – 17 Ogos 2017.