Warga Emas Maut Dirempuh Kereta Api

Seorang wanita warga emas ditemui maut dipercayai dirempuh kereta api berhampiran Stesen Kereta Api Bertam Lama, Gua Musang pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berumur dalam lingkungan 80-an ditemukan dalam keadaan terbaring dan kecederaan parah di kepala dan kaki.

Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mangsa dilihat sedang berjalan sendirian di atas landasan.

“Sebelum kejadian, kereta api dari arah Tumpat menghala ke Gua Musang itu sudah membunyikan hon beberapa kali dan mangsa cuba melarikan diri ke tepi landasan tetapi gagal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad mengesahkan kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat. – 17 Ogos 2017.