Jangan Terpengaruh Rentak Pembangkang

Seluruh ahli UMNO digesa supaya tidak terpengaruh dengan rentak pembangkang yang terus agresif memainkan pelbagai isu
untuk melemahkan parti keramat orang Melayu itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang penting seluruh ahli perlu bersatu seterusnya memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, Pakatan Harapan yang diketuai DAP dijangka akan terus menggerakkan jentera melakukan perang saraf untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO dan seluruh ahlinya.

“Nasihat saya, jangan terikut-ikut dan menari dengan rentak pembangkang yang akan melontarkan pelbagai isu sekarang.

“Ini mungkin sebahagian daripada perang saraf mereka untuk melaga-lagakan, melemahkan semangat pemimpin kita dan menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara hari ini.

Tambah Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, kesetian dan semangat yang ditunjukkan kepemimpinan UMNO Bahagian dan seluruh akar umbi menjadi kekuatan untuk parti terus berjuang.

“Semangat itu memberi kekuatan kepada kita untuk terus kekal menjadi payung kepada ahli dan seluruh rakyat,” katanya. – 18 Ogos 2017.