Nelayan Rugi RM500 Sebulan

Kira-kira 300 nelayan mengadakan perhimpunan aman mendesak pihak berkenaan mendalamkan pusat pendaratan ikan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar di Kota Bharu.

Kawasan LKIM itu kini didakwa semakin cetek sekali gus menyukarkan pendaratan ikan dilakukan.

Malah, masalah yang telah berlarutan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan Kompleks LKIM Kuala Besar kini tidak lagi berfungsi sebagai pusat pendaratan ikan untuk nelayan kawasan sekitar.

Pengerusinya Persatuan Nelayan Kota Bharu Che Mohd. Asa’ari Abdullah berkata, masalah tersebut berlarutan sejak tiga tahun lalu dan ia semakin memuncak dengan adanya projek mengorek pasir di sungai berkenaan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, masalah tersebut menyebabkan nelayan terbabit mengalami kerugian hampir RM500 sebulan.

“Dalam sebulan, purata pendapatan seorang nelayan kira-kira RM1,500 dan keadaan ini membimbangkan kerana pendapatan kami semakin merosot,” katanya.

Justeru, beliau meminta pihak berkenaan memandang serius masalah tersebut kerana mereka hanya bergantung harap kepada Kompleks LKIM Kuala Besar untuk mendaratkan hasil tangkapan. – 18 Ogos 2017.