Tuduhan Azmin Berat, Perlu Bertanggungjawab

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bertanggungjawab dengan tindakannya menuduh UMNO menggunakan gangsterisme untuk menggangu Forum Nothing To Hide 2.0 baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tuduhan yang dilemparkan Timbalan Presiden PKR itu cukup berat dan sama sekali tidak berasas.

Katanya, Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan bukti apabila mengaitkan UMNO sebagai punca kekecohan yang berlaku dalam program tersebut.

“Tuduhan itu (UMNO menggunakan gangsterisme) cukup berat yang datangnya daripada seorang Menteri Besar. Saya harap beliau (Azmin) bertanggungjawab.

“Kita tahu insiden itu sedang disiasat dan kalau Mohamed Azmin ada bukti menyokong tuduhan tersebut, beliau perlu panjangkan kepada pihak berkuasa,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara hari ini. – 18 Ogos 2017.