Cipta FB Sebanyak Mungkin

Pergerakan Pemuda UMNO perlu menjadikan laman sosial sebagai medan peperangan baharu untuk meneruskan perjuangan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun berkata, menerusi laman sosial, Pemuda bukan sahaja dapat memberi penerangan malah dapat berhubung dan saling berinteraksi dengan rakyat.

“Sekarang, tanggungjawab kita beralih kepada medan peperangan baharu iaitu di media sosial, jadi cipta akaun facebook sebanyak mungkin.

“Kita (Pemuda) perlu berani kerana perjuangan Pemuda tidak hanya menjaga keselamatan atau berkonvoi motosikal ketika PRU sahaja tetapi menjadikan PRU sebagai jihad untuk memastikan kemenangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu Kali Ke-23.

Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, ahli UMNO digesa untuk terus bangkit demi mempertahankan wadah perjuangan parti sekaligus menentang anasir yang berusaha menghapuskan UMNO.

“Hari ini, dalam konteks peperangan, kena lihat siapa musuh kita. Musuh orang Melayu dan sedang berusaha untuk hapuskan parti keramat tidak lain tidak bukan adalah Tun Dr. Mahathir.

“Saya terus nyatakan nama beliau kerana tidak mahu jentera kita salah sasaran kerana setiap ungkapan beliau (Dr Mahathir) adalah untuk menghancurkan UMNO,” katanya.

Tambah beliau, setiap ahli UMNo perlu memberi tumpuan penuh pada persiapan menghadapi PRU-14 dan mengetepikan sebarang isu yang tiada kepentingan parti. – 19 Ogos 2017.