Memali: Dr. Mahathir Perlu Berjumpa, Beri Penjelasan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu berani mengadakan pertemuan dengan penduduk yang terlibat dalam tragedi berdarah Memali meskipun kejadian itu sudah lebih 30 tahun berlalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Dr. Mahathir tidak perlu takut untuk berhadapan dengan penduduk di kampung berkenaan sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan itu merasakan tindakannya betul.

Katanya, beliau percaya perkara ini akan terus berbangkit selagi Dr. Mahathir tidak memberi penjelasan sebenar terhadap peristiwa kejam yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa itu.

“Kita percaya ada sesuatu yang tidak kena di belakang insiden tersebut. Saya tidak nampak pihak polis boleh mengadakan operasi besar-besaran (Memali) tanpa arahan daripada kerajaan terutama Perdana Menteri pada masa itu.

“Sebelum ini, kita ada dengar (Tun) Musa Hitam (Menteri Dalam Negeri ketika peristiwa tersebut) memaklumkan ada pihak lain lebih tinggi daripada beliau boleh memberi penjelasan lebih jelas berhubung isu ini.

“Sudah pastinya lebih tinggi daripada Musa Hitam ketika itu adalah Perdana Menteri (Dr. Mahathir),” katanya.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 itu, menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika pihak berkuasa melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya. – 19 Ogos 2017.