Memali: RCI Puaskan Hati Rakyat

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong cadangan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 seterusnya memuaskan hati rakyat.

Bagaimanapun katanya, penubuhan itu perlu diserahkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan kewajarannya.

“Kes ini sudah berpuluh tahun lamanya dan ia telah dibawa ke Parlimen dengan perbentangan kertas putih. Tetapi, kalau perlukan siasatan semula, bagus juga jika mampu memuaskan hati rakyat.

“Sekiranya ada benda yang tidak selesai, ia patut diselesaikan biar rakyat puas hati,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan jawapan yang tidak memuaskan berkaitan peristiwa Memali sehingga menjadi punca kepada berlakunya kekecohan semasa majlis Nothing To Hide 2.0 di Sham Alam Selangor.

Ekoran daripada itu, PAS menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat semula peristiwa Memali untuk menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku semasa kejadian.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 itu, menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya. – 19 Ogos 2017.