Orang Asli Perlu Ikut Saluran Kemuka Tuntutan

Jabatan Perhutanan negeri tidak akan melayan dakwaan serta tuntutan Orang Asli berkaitan masalah di perkampungan mereka sekiranya tidak mengikut saluran yang betul.

Pengarahnya, Datuk Zahari Ibrahim berkata, jabatan itu hanya mengambil pendekatan mengadakan rundingan bersama masyarakat Orang Asli dan organisasi yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.

Katanya, beberapa siri rundingan telah diadakan bagi menyelesaikan beberapa isu khususnya aktiviti pembalakan dan mereka mengalu-alukan laporan daripada Orang Asli jika berlaku pencerobohan serta kemusnahan hutan di kawasan mereka.

“Kita akan menjalankan siasatan tentang apa yang dilaporkan oleh Orang Asli baru-baru ini tentang aktiviti pembalakan yang menjejaskan kawasan penempatan mereka.

“Kita juga akan melaksanakan langkah-langkah berkesan bagi mengawal keadaan yang didakwa telah mencemarkan kehidupan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

“Bagaimanapun berkaitan tuntutan tanah adat Orang Asli adalah tertakluk kepada kerajaan negeri dan di luar bidang kuasa Jabatan Hutan. Kita hanya sebuah agensi yang melaksanakan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya selepas Program Penghijauan Diraja di Pusat Sivik.

Kelmarin, kira-kira 50 penduduk Orang Asli berkumpul di hadapan kompleks pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan di Kota Darulnaim bagi membantah aktiviti pembalakan di kawasan penempatan mereka di Gua Musang. – 19 Ogos 2017.