Isu Bendera Indonesia Dicetak Terbalik Selesai

Isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik di dalam buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selesai.

Perkara itu diberitahu oleh kedua-dua menteri berkaitan dari kedua-dua negara hari.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya, Menteri Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia Imam Nahrawi, mengadakan pertemuan tertutup selama 10 minit di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Kedua-dua menteri itu dilihat bersalaman dan memberitahu sidang media bahawa isu tersebut telah diselesaikan.

Nahrawi berkata, beliau telah menerima permohonan maaf daripada Khairy.

“Kami berkawan baik dan saya tahu Khairy sentiasa mengutamakan hubungan baik antara kedua-dua negara.
“Tetapi kita harap isu ini tidak lagi berulang,” katanya.

Sementara itu, Khairy memberitahu, telah mengarahkan buku panduan tersebut diperbetulkan dan dicetak semula.

“Ia tidak disengajakan dan berlaku disebabkan kecuaian kita.

“Tetapi tidak dinafikan ia adalah kesilapan besar yang telah menjejaskan imej dan reputasi Republik Indonesia kerana bendera merupakan simbol kebanggaan sesebuah negara,” tambahnya.

Bendera yang dicetak dalam buku tersebut memaparkan warna bendera Indonesia putih (atas) dan merah di bahagian bawah.

Warna bendera Indonesia yang sebenarnya adalah merah (atas) dan putih di bawah. – 20 Ogos 2017.