Penyertaan Hindraf Dalam Pakatan Harapan Tidak Beri Kelebihan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) percaya penyertaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) di dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP tidak akan memberi kelebihan kepada gabungan tersebut.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, hal demikian kerana pertubuhan tersebut daripada segi rekod, komitmen dan janjinya selama ini sememangnya tidak boleh dipercayai sama sekali.

Katanya, Hindraf telah diberikan layanan istimewa oleh kerajaan sebelum ini di mana pemimpin mereka dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri bagaimanapun mereka sentiasa tidak berpuas hati.

“Walaupun sudah bagi macam-macam namun mereka (Hindraf) tetap tidak berpuas hati. Jadi jika mereka menyertai pakatan pembangkang, saya tidak tahu sama ada mereka menyertai secara sukarela atau pembangkang telah memenuhi permintaan mereka,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy bagi menarik pertubuhan itu menyertai Pakatan Harapan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata bahawa keputusan sama ada untuk menerima Hindraf menganggotai Pakatan Harapan perlu dibincangkan dalam kerangka gabungan itu dahulu.

Sebelum itu, P. Waythamoorthy mengesahkan bahawa rundingan dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedang berjalan.

Sementara itu, Ibrahim berkata, sekiranya Hindraf sanggup bersama pakatan pembangkang mereka pastinya sudah berpuas hati dengan janji-janji yang ditawarkan gabungan tersebut.

“Jadi kita berharap pembangkang kena dedah apa janji dan tawaran yang diberikan kepada Hindraf itu kepada umum untuk kita sama-sama tahu,” katanya. – 20 Ogos 2017.