UMNO Kelantan Kemuka Cadangan Nama Calon PRU-14

UMNO Kelantan mengemukakan 177 cadangan nama calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, nama yang dicadangkan itu merangkumi Pemuda, Puteri dan Wanita.

Katanya, ia termasuk muka baharu bagi 14 kawasan Parlimen dan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“InsyaAllah cadangan nama disenaraikan mampu memenangi hati rakyat dan pada masa sama, kita masih berbincang dengan setiap Ketua Bahagian berhubung cadangan calon terbabit.

“Senarai cadangan calon merangkumi gabungan orang lama dan baharu membabitkan Wanita dan Puteri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Negeri hari ini.

Mustapa, bagaimanapun memberitahu, perkara itu belum diputuskan berikutan setiap kerusi Parlimen atau DUN mempunyai tiga nama untuk dipertimbangkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, UMNO Kelantan bersiap sedia dengan kemungkinan berdepan tiga atau empat penjuru pada PRU-14 nanti.

“Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Jika hari ini kita melihat PAS dan PKR putuskan hubungan dan tidak mustahil situasi itu berubah pada PRU-14 nanti.

“Justeru, kita perlu bersiap sedia menentang parti lain dan jentera parti mesti menggandakan usaha demi merampas Kelantan,” katanya.

Mustapa berkata, usaha jentera parti di peringkat bahagian kini memuaskan, manakala peringkat negeri masih banyak perlu dipertingkatkan. – 20 Ogos 2017.