Maut Terhempap Lori

Seorang lelaki maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Padang Mokkan, Peringat semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan pulang ke pejabat dari rumah selepas mengambil anaknya di sekolah.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku semasa sebuah lori dari arah Peringat dalam perjalanan menuju ke Gunung, Bachok manakala kereta dan motosikal datang dari arah bertentangan.

Apabila tiba di lokasi kejadian lori tersebut terbabit kemalangan dengan kereta sebelum terbalik dan menghempap mangsa.

Menurut sumber, akibat kejadian penunggang motosikal yang dipercayai merupakan kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan untuk rawatan.

“Dua lagi mangsa dari kenderaan lain mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di hospital yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – 20 Ogos 2017.