Memali; PAN Bersekongkol Dengan Kemungkaran Dr. Mahathir

Tindakan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang menuduh PAS bermain politik dalam isu Memali membuktikan beliau sanggup bersekongkol dengan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu demi kepentingan politik pada hari ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim berkata,
peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985 itu merupakan tragedi yang berkait dengan jenayah dan PAS sehingga saat ini masih menuntut pengadilan serta pembelaan terhadap keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Pertimbangan Salahuddin ini dilihat celaru dan salah sekali gus menunjukkan peribadi sebenar parti beliau (PAN) apabila menganggap perkara tersebut telah lama dan tidak terlalu besar baginya.

“Ternyata hakikatnya, PAN lah yang melindungi serta bersekongkol dengan kemungkaran dan kejahatan hanya semata-mata pelaku tragedi itu, Dr. Mahathir kini menjadi teraju penting dalam Pakatan Harapan.

“Inilah politik paling durjana yang berteraskan kepentingan dan nafsu di mana kini mereka sanggup melakukan apa sahaja biarpun bertentang dengan prinsip dan norma kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhbar semalam melaporkan Salahudin mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu Memali yang berlaku 32 tahun lalu demi meraih undi orang Melayu.

Bekas Naib Presiden PAS itu dilaporkan berkata, isu tersebut seolah-olah sengaja ditimbulkan apabila Dr. Mahathir telah bersatu dalam Pakatan Harapan. – 21 Ogos 2017.