Amir Ramadzan Janji Selesai Masalah Kewangan Jika Dilantik Presiden Kafa

Pasukan bola sepak Kelantan dijangka tidak akan berdepan masalah kewangan lagi untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Ia kerana, Pengerusi Kumpulan Secretleaf International Sdn. Bhd. Amir Ramadzan Ibrahim memberi jaminan akan menyelesaikan segala masalah berkaitan kewangan sekiranya dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi penggal 2017 hingga 2021.

Amir Ramadzan berkata, masalah kewangan termasuk hutang lapuk selain dana persatuan itu untuk memulakan saingan musim baharu kini berada dalam perancangannya bagi memulihkan kembali reputasi skuad The Red Warriors (TRW).

“Isu yang paling banyak orang persoalkan sekarang adalah kemampuan kewangan Kafa. Memang perkara ini dalam perkiraan saya dan insyaALLAH, pada musim akan datang kita akan bermula tanpa sebarang masalah.

“Secara peribadi, saya lihat sejak beberapa musim lalu, kita berasa malu dengan banyak benda berlaku (masalah kewangan) dan kita hendak penyokong berbangga semula dengan TRW, pada musim depan,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, beliau akan membuat perubahan secara menyeluruh membabitkan konsep 4p iaitu pengurusan, penaja, pemain dan penyokong untuk pembangunan TRW.

“Saya tengok Kafa ini sudah lama, tetapi perkara asas seperti padang latihan sehingga sekarang masih lagi menyewa. Jadi semua benda asas ini kita akan lihat balik.

“Kita ingin melihat perubahan besar dalam menguruskan Kafa dan TRW termasuk menjaga penaja tanpa melibatkan syarat yang membebankan. Kita mahu semua mendapat manfaat tanpa ada unsur atau kepentingan lain,” katanya. – 22 Ogos 2017.