PAS Bertegas Tidak Akan Kerjasama Dengan PKR

PAS menegaskan kerjasama dengan PKR termasuk membabitkan soal pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak akan berlaku.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu jelas selepas pihaknya memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mei lalu.

“Kalau Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kata mahu berbincang dengan PAS dalam isu penentuan kerusi PRU-14, bagi kami senang sahaja, PKR jangan bertanding di mana-mana kerusi PAS bertanding,” katanya.

Wan Azizah sebelum ini dilaporkan berkata, PKR tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, menjadi objektif PKR iaitu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan sekiranya ada perkara yang boleh membantu ke arah berkenaan, pihaknya akan mencuba.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, senarai cadangan calon PRU-14 dari Kelantan sudah dihantar kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun katanya, pemilihan calon itu belum dimuktamadkan lagi dan ia terdiri dari pelbagai golongan termasuk muka baru dan wanita. – 22 Ogos 2017.