PAS Tempelak PAN, Memali Bukan Isu Politik

PAS menempelak tindakan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang menuduh PAS sengaja menimbulkan isu Memali untuk meraih undi orang Melayu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim berkata, PAS tidak pernah mempolitikkan isu Memali sebaliknya terus konsisten membela nasib mangsa peristiwa tersebut.

“Ia (Memali) bukan isu politik tetapi adalah satu bentuk keadilan sosial yang wajib ditegakkan.

“Walaupun sudah 32 tahun berlaku, isu tersebut masih rasional dan wajib diselesaikan. Maruah keluarga mangsa dan nama mangsa perlu dibersihkan,” katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan Salahudin mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu Memali yang berlaku 32 tahun lalu demi meraih undi orang Melayu.

Bekas Naib Presiden PAS itu dilaporkan berkata, isu tersebut seolah-olah sengaja ditimbulkan apabila Dr. Mahathir telah bersatu dalam Pakatan Harapan.

Sementara itu, Nazman berkata, kerajaan di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika tragedi Memali pada 19 November 1985 perlu bertanggungjawab dan disiasat kembali dengan seadil-adilnya.

Katanya, meskipun peristiwa tersebut sudah 32 tahun berlalu namun ia masih meninggalkan kesan yang cukup mendalam bagi penduduk di Baling, Kedah khususnya keluarga mangsa terlibat.

“Tragedi Memali telah mengorbankan 14 individu pencinta agama, alim ulama dan pejuang Islam yang telah syahid manakala puluhan lagi mereka yang tidak bersalah cedera parah dalam Operasi Hapus itu,” katanya. – 22 Ogos 2017.