PAS Tubuh Jawatankuasa Khas Bela Nasib Mangsa Tragedi Memali

PAS menyambut baik kesediaan kerajaan melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya merasakan langkah tersebut amat wajar selaras dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 8, iaitu bagi setiap rakyat mendapat hak dan perlindungan yang sama di sisi undang-undang.

“Sehubungan itu, Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat semalam telah memutuskan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membela nasib mangsa tragedi Memali yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

“Jawatankuasa khas tersebut akan bertindak segera mengendalikan perkara ini termasuk membawa waris-waris mangsa tragedi Memali bertemu dengan Ahmad Zahid merangkap Menteri Dalam Negeri bagi mengemukakan aduan rasmi memohon RCI ditubuhkan dan dijalankan seberapa segera memandangkan tragedi ini telah berlaku 32 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedia menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 di Baling, Kedah, jika ada permintaan. – 22 Ogos 2017.