Pesanan Annuar Kepada Bakal Presiden Kafa

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa mengingatkan individu yang bakal menerajui badan induk tersebut perlu benar-benar meminati sukan itu.

“Perlu saya peringatkan sesiapa yang mahu memimpin Kafa perlulah benar-benar meminati sukan itu dan bukan sekadar memikirkan publisiti dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya ahari ini.

Semalam, Pengerusi Kumpulan Secretleaf International Sdn. Bhd. Amir Ramadzan Ibrahim menawarkan diri untuk menjadi presiden demi melihat perubahan kepada Kafa dan pasukan negeri kelahirannya sendiri.

Dalam pada itu Annuar turut mengingatkan mengenai tanggungjawab besar individu yang menggalas peranan seorang presiden.

“Perlu diketahui tanggungjawab Kafa tidak hanya pada pasukan TRW, tapi juga The President Warriors (TPW), The Young Warriors (TYW), ahli gabungan, futsal, bola sepak wanita,kejurulatihan, pengadil dan lain-lain lagi.

“Untuk mengendalikan semua itu Kafa memerlukan bajet tahunan tidak kurang dari RM12 juta atau kira-kira RM1.0 juta sebulan.

“Saya percaya tokoh-tokoh yang menawarkan diri mampu melaksanakan tanggungjawab itu,” katanya. – 22 Ogos 2017.