Polis Ditetak Pengedar Dadah

Dua anggota polis cedera ditetak dan dilibas dua pengedar dadah dengan parang ketika melakukan serbuan di kawasan berhadapan Tabika di Kampung Telaga Bata, Tumpat Kelantan kelmarin.

Bagaimanapun dalam keadaan kesakitan, polis tersebut masih sempat memberkas penjenayah terbabit dan merampas 110 biji pil kuda serta 64 gram heroin.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam berlaku ketika Lans Koperal Ahmad Zahir Zainal, 32, dan rakanya Lans Koperal Muhammad Asyraf Ghazali, 28, sedang melakukan serbuan untuk menangkap tokan dadah tersebut.

Akibatnya, Ahmad Zahir cedera di bahagian pipi dan menerima 6 jahitan, manakala Muhammad Asyraf luka dipergelangan tangan serta calar terkena parang ketika bergelut dengan suspek.

Difahamkan kedua- dua suspek berusia 44 dan 46 tahun itu telah bertindak ganas terhadap anggota polis terbabit ketika pihak berkuasa itu cuba menghampiri mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, salah seorang suspek yang menyedari kehadiran pihak polis telah mengambil parang yang disembunyikan di dalam bakul motosikal dan melibas dengan parang beberapa kali terhadap anggota yang bertugas itu.

“Libasan tersebut telah terkena pipi salah seorang anggota polis tersebut sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan dan terpaksa menerima enam jahitan,” katanya dalam sidang akhbar, semalam. – 22 Ogos 2017.