PPDNKK Kelantan Kesan 11 Premis Tipu Jualan Murah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengesan 11 premis yang didapati melakukan kesalahan berhubung jualan murah.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, 11 premis tersebut adalah antara 500 premis yang mendaftar untuk jualan murah pada tahun ini.

“11 premis ini dikesan melakukan kesalahan termasuk menipu tanda harga dan kod bar pada barangan jualan sekaligus mengelirukan pengguna.

“Setakat ini, kita sedang membuat siasatan lanjut ke atas 11 premis terbabit dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jualan Murah di AEON Mall Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya telah menerima sebanyak 303 aduan sehingga Julai ini termasuk 51 aduan melibatkan urus niaga atas talian seperti di laman sosial Facebook, Mudah.my dan lain-lain.

“Bagi aduan yang mempunyai maklumat penjual kebanyakkan telah diselesaikan melalui tiga pihak seperti membayar semula jumlah bayaran, deposit dikembalikan atau ditukar dengan barangan lain.

“Manakala bagi aduan yang tiada langsung maklumat sepertimana keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, aduan-aduan ini dipanjangkan kepada pihak polis untuk tindakan,” katanya. – 22 Ogos 2017.