Hukuman Penjara 18 Bulan Terhadap Rafizi Kekal

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 18 bulan ke atas Naib Presiden PKR Mohd. Rafizi Ramli.

Mohd. Rafizi disabitkan kesalahan membocor dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan yang dikemukakan Rafizi.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pandan itu daripada pertuduhan memiliki laporan audit berkenaan yang juga dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan sebelum ini.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi memberi peluang Rafizi merayu di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 November tahun lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd. Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Mengikut pertuduhan pertama, Rafizi didakwa memiliki satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Bagi pertuduhan kedua pula, beliau turut didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Sementara itu, Rafizi dalam komen Twitternya berkata, akan membuat rayuan sehingga peringkat tertinggi dan jika gagal juga beliau akan bercuti daripada politik dan tidak boleh bertanding.

“Akn rayu di Mahkamah Rayuan penjara setahun setengah. Saya tetap tidak boleh bertanding dalam PRU14,” katanya.

Rafizi akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen sekiranya rayuan beliau gagal selain tidak layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang. – 23 Ogos 2017.