Kit Siang Berniat Jahat – Mohd. Amar

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berniat jahat mahu memburuk-burukkan PAS apabila mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai punca berlakunya tragedi Memali, 32 tahun lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Kit Siang tidak perlu membuat tuduhan membuta tuli tanpa fakta dan hujah kukuh.

Beliau sebaliknya perlu bersabar menunggu hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Memali yang akan diwujudkan.

“Bagaimana jika kita kata tragedi 13 Mei 1969 disebabkan DAP? Akibat DAP yang fanatik dan bersikap perkauman, adakah dia setuju?

“Kalau Kit Siang nak main politik, saya rasa tidak payah lah.. sepatutnya dia tunggu sahaja hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja, tidak perlu lempar tuduhan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam, Kit Siang dilaporkan berkata jika RCI berhubung tragedi Memali dibentuk, Abdul Hadi adalah antara individu yang perlu dihadapkan kepada jawatankuasa itu.

Kit Siang mendakwa ucapan Abdul Hadi pada 7 April 1981 yang kemudiannya dinamakan sebagai ‘Amanat Hadi’ mempunyai hubung kait dengan tragedi Memali pada 18 November 1985.

Tragedi tersebut mengorbankan 18 nyawa.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, RCI amat diperlukan kerana hasil siasatannya kelak akan menentukan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terbabit atau sebaliknya.

“Sekarang ini ada dua versi yang menyatakan dia (Dr Mahathir) tidak terlibat dan berada luar negara ketika tragedi.

“Bagaimanapun bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam pula mendakwa dia ada di dalam negara dan arahan itu datang daripadanya.

“Sebab itu kita memerlukan RCI bagi membongkar kebenaran sekali gus memberi keadilan kepada keluarga dan waris mangsa. Kita tidak menghalang RCI untuk memanggil sesiapa saja sebagai saksi bagi menyiasat perkara sebenar,” katanya. – 23 Ogos 2017.