Penganjur Mahu Malukan PM

Penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan pihak yang mencetuskan kekecohan dalam Forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini sebagaimana didakwa Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir.

Insiden tersebut sebaliknya disebabkan sikap tidak profesional penganjur serta niat jahat mereka terhadap Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penganjur sejak awal sememangnya mahu mengaibkan Perdana Menteri namun niat tersebut bukan sahaja tidak kesampaian malah mereka menerima pembalasan secara ‘tunai’.

“Sejak awal lagi program ini dilihat tidak profesional dan mempunyai niat tidak baik.

“Mereka paparkan gambar, jaja nama serta khaskan tempat duduk untuk Perdana Menteri sedangkan beliau tidak pernah memberi jawapan untuk hadir.

“Di situ kita boleh nampak niat buruknya, iaitu mahu memalukan Perdana Menteri. Kalau beliau tak datang, mereka akan malukan beliau dengan mendakwa beliau penakut. Kalau beliau datang, mereka tetap akan malukan beliau.

“Dr. Mahathir memang tak jangka anak muda akan bertanyakan isu Memali sebab dia adalah orang yang mahu menyembunyikan segalanya. Program itu memang berniat jahat, bukan untuk beri jawapan namun akhirnya terima balasan ‘cash’,” katanya.

Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM mendakwa insiden kekecohan dalam Forum Nothing to Hide 2.0 dicetuskan oleh penyokong Najib, bukan oleh ahli PPBM.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Puad menggesa Dr. Mahathir membuktikan beliau benar-benar berjiwa besar dengan menegur tindak-tanduk Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat semakin pincang termasuk terpalit dengan kes rasuah, baru-baru ini.

“Apa kerja wakil rakyat pakatan pembangkang ini sebenarnya? Apabila dia dedahkan demi kepentingan rakyat atau bekerja untuk rakyat, dia pula yang kena pulau oleh orang-orang sendiri.

“Tengok apa jadi kepada Ahli Dewan Undangan Penanti (ADUN), Dr. Norlela Ariffin selepas membangkitkan isu kilang haram di kawasannya. Beliau dicemuh dan dipinggir,” katanya. – 23 Ogos 2017.