RCI Beri Harapan Baharu Keluarga Mangsa Memali Dapat Keadilan

Kesediaan kerajaan Pusat untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula tragedi berdarah Memali diharap dapat memberi harapan baharu kepada keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penubuhan RCI bagi menyiasat peristiwa tersebut dijangka dapat merungkai pelbagai persoalan yang gagal dijelaskan semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu.

Katanya, sejak sekian lama PAS mendesak agar penubuhan suruhanjaya tersebut, bagaimanapun kerajaan pada masa itu tidak menerima, sebaliknya membentangkan kertas putih yang kandungan jawapannya dilihat cukup meragukan.

“Kenyataan kerajaan pada masa itu mendakwa mereka (mangsa Memali) dibunuh kerana menderhaka. Kita hendak tahu, derhaka daripada segi mana yang dilakukan itu sehingga dibunuh.

“Kita hendak tahu jalan cerita sebenar mengenai isu ini dan penubuhan RCI diharap akan dapat membantu merungkai segala persoalan ini selain memberi keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebelum  ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan Pusat sedia menubuhkan RCI bagi menyiasat kembali tragedi berdarah Memali, jika ada permintaan.

PAS yang menyambut baik kesediaan kerajaan Pusat itu telah mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi membela nasib mangsa peristiwa berdarah itu yang dipengerusikan Naib Presidennya, Idris Ahmad.

Isu Memali muncul kembali apabila Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan seolah-olah enggan menjawab soalan berkaitannya yang dibangkitkan dalam forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini. – 22 Ogos 2017.