AMK Desak Ketuanya Lepas Jawatan

 

Gara-gara dikatakan cenderung berbaik dengan kerajaan negeri yang ditadbir PAS, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr. Mohd. Hafidz Rizal Amran didesak supaya melepaskan jawatan oleh kumpulan yang mendakwa mendapat sokongan majoriti.

Naib Ketua AMK Kelantan, Mohd. Khairul Amin Abdul Rahman berkata, jawatankuasa AMK negeri mengumumkan hilang sokongan terhadap Mohd. Hafidz Rizal yang juga merupakan Penyelia DUN Kuala Balah.

Dakwa beliau, majoriti Ketua AMK Cabang turut menandatangani satu memorandum kepada pucuk pimpinan pusat supaya Mohd. Hafidz Rizal dilucutkan daripada jawatan yang dipegang beliau sekarang.

“Desakan ini dibuat kerana beliau telah hilang sokongan majoriti kami yang mewakili Ketua-Ketua AMK Cabang di Kelantan.

“Kami juga memutuskan mendesak Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad supaya melantik seorang Ketua yang baharu bagi menerajui AMK Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

Sebelum ini, PKR Kelantan dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan selepas Pengerusinya, Ab. Aziz Ab. Kadir dilihat cenderung bekerjasama dengan PAS kerana mahu mengekalkan lantikan politik PKR di negeri itu.

Menurut sumber, Mohd. Hafidz Rizal dikatakan merupakan salah seorang pimpinan negeri yang menyokong kuat hasrat Ab. Aziz.

Bagaimanapun, Mohd. Khairul Amin enggan mengesahkan perkara itu dan tidak mahu mendedahkan punca sebenar Mohd. Hafidz Rizal hilang sokongan majoriti jawatankuasa AMK negeri.

Beliau sekadar menegaskan, pihaknya menyokong penuh kepimpinan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan mempertahankan segala keputusan dibuat pucuk pimpinan parti.

“Kami juga akan bersama dan menyokong kepimpinan Ab. Aziz Kadir selaku Pengerusi PKR Kelantan.

“Kami juga mengisytiharkan komitmen penuh dan kerjasama utuh bersama rakan-rakan dari Pemuda Amanah (PAN) Kelantan, Armada PPBM Kelantan serta Dapsy Kelantan atas semangat Pemuda Pakatan Harapan Kelantan,” katanya. – 24 Ogos 2017.