AMK Kelantan Dilanda Kemelut

PKR Kelantan menafikan parti itu berpecah kepada dua kumpulan namun mengakui sayapnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) berdepan krisis dalaman.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, krisis dalaman timbul apabila terdapat kumpulan tertentu yang mahukan Ketua AMK Kelantan, Mohd. Hafidz Rizal Amran disingkirkan daripada jawatan itu.

Katanya, desakan itu sememangnya mendapat perhatian pucuk pimpinan parti dan keputusan sama ada Mohd. Hafidz Rizal dikekalkan atau tidak akan dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau tidak menyangka Naib Ketua AMK Kelantan, Mohd. Khairul Amin Abdul Rahman bertindak mengadakan sidang akhbar dan menghebahkan perkara itu kepada orang luar, semalam.

“Wakil PKR Pusat sudah turun mendengar masalah yang berlaku membabitkan kedua-dua pihak dan mereka kini dalam tempoh bertenang, sebelum PKR Pusat membuat keputusan sama ada Hafidz Rizal kekal atau sebaliknya.

“Saya tidak campur tangan bagi mengelak isu berat sebelah dan menyerahkan kepada pusat untuk menyelesaikannya. Perkara ini bukan bermakna PKR Kelantan berpecah dua, apa yang berlaku hanya masalah kecil,” katanya.

Semalam, Mohd. Khairul Amin mengadakan sidang akhbar memaklumkan Jawatankuasa AMK Kelantan telah hilang sokongan terhadap Mohd. Hafidz Rizal dan mendesak beliau supaya meletak jawatan.

Perkara itu menguatkan lagi spekulasi bahawa PKR Kelantan terbahagi kepada dua kumpulan apabila ada pihak membantah keputusan Ab. Aziz mengekalkan semua lantikan politik PKR di negeri itu walaupun parti itu tidak lagi bekerjasama dengan PAS.

Pihak yang condong kepada PAN dan DAP tersebut turut dikatakan menjadi dalang yang menyebarkan surat layang mengandungi 10 kegagalan Ab. Aziz sepanjang memimpin PKR Kelantan.

Menurut sumber, Mohd. Hafidz Rizal merupakan salah seorang pimpinan PKR negeri yang menjadi penyokong kuat Ab. Aziz. – 24 Ogos 2017.